Obama: Artikel menarik

|

WASHINGTON:
Bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berdepan tugas berat selepas selesai majlis angkat sumpah esok kerana mewarisi banyak krisis daripada pentadbiran George W Bush, yang menjadi penentu jatuh bangun pemerintahannya.
Malah, ini diakui sendiri oleh bakal presiden kulit hitam pertama Amerika itu ketika memberikan ucapan kepada penyokongnya dalam lawatan kereta api dari Philadelphia ke Washington, kelmarin.
"Tidak banyak tercatat dalam sejarah kita berdepan cabaran yang amat hebat. Ekonomi merudum. Dua peperangan, satu daripadanya perlu ditamatkan secara bertanggungjawab, satu lagi perlu ditangani dengan bijak. Planet kita semakin panas berikutan sikap yang terlalu bergantung kepada minyak," katanyaBagi Obama, gelombang krisis yang sempurna itu mewakili kelemahan kuasa dan peluang mengukir namanya bersama-sama segelintir presiden hebat yang menyelamatkan negara mereka.
Pembantu kanan Obama berkata, tugas pertama yang menantinya sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan ialah menghalang masalah ekonomi Amerika yang sedia goyah dengan kemelesetan mengancam menjadikan negara itu mengalami kejatuhan amat teruk.
Dalam dasar ekonominya, Obama berjaya mengemudikan kapal dengan berkesan untuk beberapa minggu, dan memperkenalkan pakej merangsang ekonomi di Kongres.
Beliau meminta kerjasama anggota Republikan dan Demokrat, menunjukkan kesediaan menukar rancangan apabila berdepan tentangan ketika berterusan menekankan ekonomi akan merudum selama bertahun-tahun tanpa tindakan segera diambil.
Apabila memasuki Rumah Putih secara rasmi esok, Dewan Perwakilan akan bersedia berusaha menjayakan pelan rangsangan bernilai AS$825 bilion (RM2.8 trilion), dengan harapan tinggi Obama mampu membawanya ke Kongres menjelang pertengahan Februari ini.
Dewan turut berusaha untuk memaksa perubahan kepada separuh kedua bantuan kewangan bernilai AS$700 bilion (RM2.4 trilion) selepas pentadbiran Bush dituduh membazirkan separuh pertama yang masih bersedia dipinjamkan.
Senat sudah pun bersedia untuk mengundi memberikan wang itu. AFP

Pulih ekonomi fokus utama
WASHINGTON 19 Jan. -
Agenda penting dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) bermula esok ialah untuk memulihkan ekonomi negara kuasa dunia itu.
Dengan masa yang cukup terhad itu, beliau sedang giat mempersiapkan diri bagi melaksanakan usaha pemulihan tersebut, menjelang pengambilan alih kuasa daripada Presiden George W. Bush, esok.
Obama dan penasihat-penasihatnya telah menemui para penggubal undang-undang mengenai cadangan mengadakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah AS$825 bilion dan permohonan untuk menggunakan baki AS$350 bilion dana menyelamat institusi kewangan.
AS mula mengalami krisis ekonomi pada Disember 2007 dan menghadapi kelembapan ekonomi selama 12 bulan yang terpanjang sejak krisis ekonomi pada awal 1980-an.
Keadaan itu mendorong Obama bekerjasama dengan Kongres yang dipimpin oleh Parti Demokratik untuk mengadakan pakej bantuan bernilai lebih AS$775 bilion bagi menjana semula ekonomi. Beliau mahu ia diluluskan pada pertengahan Februari ini.
Pelan tersebut akan menjana projek-projek kerja awam seperti pembinaan jalan-jalan raya baru dan sekolah, serta menyediakan insentif bagi mempromosi kecekapan tenaga. Ia termasuk pemotongan cukai.
Namun, ahli-ahli Senat daripada Parti Demokrat juga mendesak beliau untuk memasukkan juga cadangan pemotongan cukai bagi perniagaan yang mengambil pekerja baru.
Pasukan Obama telah berjaya memujuk Senat untuk meluluskan pengeluaran baki separuh daripada program menyelamat kewangan sebanyak AS$700 bilion.
Pakej menyelamat itu tidak disenangi oleh ramai penggubal undang-undang yang merasakan ia telah disalurkan terlalu banyak kepada firma-firma kewangan dengan syarat-syarat yang mudah.
Sebaliknya, ramai yang mahukan dana tersebut digunakan untuk membantu pemilik rumah yang mengalami masalah rumah mereka akan disita.
Obama telah bersetuju dengan saranan tersebut dan berikrar untuk menyusun semula dana menyelamat tersebut.
Daripada segi jangka panjang, Obama berjanji untuk memperketatkan peraturan ke atas Wall Street, yang dikatakannya kurang pemantauan merupakan punca utama pasaran saham itu mengalami krisis kewangan.
Apakah keutamaan tertentu terpaksa dipinggirkan sementara waktu? Para penganalisis percaya bahawa beberapa isu keutamaan domestik seperti janji untuk menyusun semula sistem penjagaan kesihatan dan menyediakan pelan besar untuk menangani perubahan cuaca, mungkin perlu ditangguhkan sehingga ekonomi AS berjaya distabilkan.
Menyusun semula peraturan kewangan akan kekal menjadi keutamaan yang penting tetapi ramai pakar merasakan kemajuan besar daripadanya hanya akan dapat dilihat pada akhir tahun.
Ini kerana Obama akan memberi tumpuan kepada isu pelan rangsangan dan menyelamat kewangan. - REUTERS

Tentera Zionis berundur hari ini
BAITULMAQDIS 19 Jan. -
Pegawai-pegawai Israel berkata, bala tentera Yahudi itu akan meninggalkan Genting Gaza sepenuhnya sebelum Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44, esok.
Ia adalah petunjuk rasmi pertama Israel merancang mengundurkan seluruh tenteranya selepas mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak di Gaza lewat Sabtu lalu.
Keputusan berkenaan kemungkinan ada kaitan dengan keinginan rejim Zionis untuk mewujudkan hubungan permulaan yang lancar dengan pentadbiran baru AS.
Ribuan anggota tentera Israel mula keluar dari Gaza pada Sabtu lalu selepas mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak, bagaimanapun pemimpin Israel menyatakan tenteranya akan terus berada di Gaza untuk beberapa ketika.
Hamas juga mengumumkan gencatan senjata selama seminggu, semalam.
Jurucakap kerajaan Yahudi, Mark Regev enggan mengesahkan mengenai jadual waktu pengunduran tersebut.
Beliau berkata: ''Hanya, apabila Gaza kekal 'senyap' barulah pengunduran sepenuhnya tentera Israel akan dilakukan segera''. - AP


http://www.ontheissues.org/Barack_Obama.htm